Ayat Al-Quran Tentang Kelebihan Ganjaran Kebaikan (Al-An'aam 6:160)



Dari Surah Al-An'aam, ayat 160, Allah SWT telah berfirman, mafhumnya:



Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).


Ayat ini menunjukkan betapa Allah SWT Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, satu kebaikan dibalas 10 kali ganda ganjaran kebaikan, manakala satu kejahatan dibalas setimpal dengan kejahatan tersebut. Semoga ayat ini menjadi pemangkin untuk setiap hamba Allah berbuat kebaikan demi kebaikan semata-mata mencari keredhaan Allah Taala. Aamin.

Ayat Al-Quran Tentang Keperluan Berusaha Mencari Rezeki Allah (Al-Jumu'ah 62:10)

Dari Surah Al-Jumu'ah, ayat 10, Allah SWT telah berfirman, mafhumnya:


Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).


Ayat ini menerangkan keperluan manusia untuk bekerja demi mencari rezeki yang halal. Walaupun setiap rezeki telah ditentukan oleh Allah SWT, tetapi manusia tetap perlu berusaha untuk bekerja dan mencari rezeki. Bekerja juga akan menjadi satu bentuk ibadat sekiranya diniatkan kerana Allah Taala. Ayat ini juga mengingatkan kita untuk sentiasa mengingati Allah semasa bekerja, contohnya dengan berzikir dan tidak meninggalkan solat fardhu pada waktu kerja. Ayat ini turut menegaskan keutamaan mendirikan solat sebelum mulai bekerja. Sesungguhnya tiada urusan lebih penting daripada solat pada waktunya. Utamakan solat, kemudian selesaikan urusan yang lain. Dengan itu, kita akan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Inshaa Allah.


Nota Tafsir Surah Al-Kafiruun (Quran 109:1-6)



Worshipper or Slave of God? | Surah Al Kafiroun illustrated lesson


Nota dari video ceramah Ustaz Nouman Ali Khan:

  1. Dalam bahasa Arab, maksud Ibadah atau Ubudiyyah merangkumi 2 aspek iaitu ibadat/menyembah (worship) dan mengabdikan/menghambakan diri (slavery). Dalam bahasa Inggeris atau Melayu, makna perkataan Ibadah hanya khusus kepada perbuatan menyembah Allah (worship).
  2. Contoh ibadat (worship) adalah sebarang bentuk perbuatan (act) khusus seperti solat, berpuasa dan menunaikan haji. Manakala pengabdian diri (slavery) adalah sepanjang masa.
  3. Sebagai hamba Allah, kita wajib taat dan patuh kepada perintahNya sepanjang masa termasuklah di luar waktu ibadat khusus. 
  4. Ketidakfahaman konteks ibadah dapat dilihat apabila seseorang muslim yang menjaga solat 5 waktu (worship) tetapi tidak menjadi hamba Allah (slavery) di luar waktu solat kerana mengamalkan cara hidup yang mengabaikan perintah Allah, contohnya tidak menjaga perkara yang halal dan haram.
  5. Kaum arab zaman jahiliyyah dahulu tidak mahu menyembah Allah dan menolak daripada menjadi hamba Allah.
  6. Mereka tidak mahu menyembah Allah kerana tidak mahu meninggalkan penyembahan berhala.
  7. Merek tidak mahu menjadi hamba Allah kerana perlu bersedekah, bersikap adil dalam perniagaan, tidak membunuh anak perempuan, meninggalkan yang haram, menolong fakir miskin dsb.
  8. Dengan itu, arab jahiliyyah memilih untuk menyembah berhala dan menjadi hamba kepada nafsu sendiri.
  9. Namun mereka tidak berpuas hati apabila Rasulullah SAW dan orang muslim tidak mengikut cara ibadah yang diwarisi dari nenek moyang mereka lalu mereka menawarkan perjanjian, iaitu satu musim semua kaum arab mengamalkan ajaran Islam dan pada musim seterusnya semua kaum arab mengamalkan bukan Islam (syirik).
  10. Maka Rasulullah SAW bertegas tidak akan sekali-kali melakukannya pada waktu itu atau pun pada masa hadapan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Kafiruun ini:


Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa. Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk". 
(Al-An'aam 6:55-56)

Panduan Elak Riak dan Takabbur



Takabbur, riak atau ujub adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya. Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan penyakit hati yang ada dalam diri manusia, iaitu : 


 1. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa. 


 2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita. 

 3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah mereka lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dada mereka. 

 4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana telah berbuat dosa semasa jahil sedangkan kita berbuat dosa setelah mengetahui/berilmu. 

 5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia daripada mereka. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita. 

 6. Apabila bertemu orang kafir, katakan belum tentu dia akan kafir selama-lamanya. Allah berkuasa memberi mereka hidayah sebagaimana Allah memberi kita hidayah. Mereka boleh jadi lebih mulia daripada kita seperti bayi yang baru dilahirkan.





Hadis Tentang Bahaya Riak dan Ujub

Abu Hurairah yang berkata, ”Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan kemudian dinampakkan kepadanya nikmat-nikmat yang diberikan kepadanya maka dia pun mengakuinya.

Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengannya?” Dia menjawab, “Aku berperang untuk-Mu sampai aku mati syahid.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau berperang kerana ingin disebut sebagai orang yang berani. Dan itu sudah kau perolehi.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengheretnya tertelungkup di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.

Kemudian seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya dan juga membaca Al Quran. Dia didatangkan kemudian ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sudah didapatinya dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kau perbuat dengannya?” Maka dia menjawab, “Aku menuntut ilmu, mengajarkannya dan membaca Al Quran kerana-Mu.” Allah berfirman, ”Engkau dusta, sebenarnya engkau menuntut ilmu supaya disebut sebagai orang alim. Engkau membaca Quran supaya disebut sebagai Qari’.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengheretnya tertelungkup di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka. 

Kemudian ada seseorang yang telah mendapatkan anugerah banyak harta. Dia didatangkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang diperolehnya. Maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kamu perbuat dengannya?” Dia menjawab, “Aku telah sedekahkan harta di jalan-Mu dan untuk-Mu.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau lakukan untuk digelar orang yang dermawan dan engkau sudah memperolehnya.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengheretnya tertelungkup di atas wajahnya lalu dilemparkan ke dalam neraka.”

 (HR Muslim)




Hikmah Disebalik Sesuatu Kejadian (Kisah Raja dan Penasihat)


Ada seorang raja yang hobinya memburu binatang. Setiap kali ingin pergi memburu, raja ini membawa penasihatnya sekali. Mereka berdua masuk ke dalam hutan. Kemudian, raja tersebut ternampak seekor rusa. Lalu, raja itu menembaknya. Namun, rusa itu masih belum mati. Raja itu mengeluarkan pisau lalu meyembelih leher rusa itu. Tanpa disedari, satu jarinya telah terpotong. Lalu, dia mengadukan kesakitannya kepada penasihatnya itu. 

Kata raja, "Wahai penasihatku, sungguh sakit yang ku rasakan akibat terpotongnya jariku ini". Penasihat itu menjawab dengan tenang, "Ada hikmahnya, tuanku". Raja mula berang. Dikatanya, "Wahai penasihat, hikmah apakah yang ada jika jariku terpotong? Tiada hikmah. Malah aku kehilangan satu jari". Kemudian, raja itu menghumban penasihat itu ke dalam penjara istananya. 

Selepas itu, si raja meneruskan hobinya. Kali ini, raja itu berseorangan. Lama beliau di hutan. Namun, seekor binatang pun tidak dijumpai. Raja itu pun terus berjalan hingga sampai ke hutan dalam. Kemudian, terdapat sebuah perkampungan orang asli. Orang asli disitu makan orang. Kebetulan pula, hari tersebut adalah Hari Raya Korban bagi mereka. Lalu, mereka menangkap raja tersebut untuk dijadikan korban. Raja itu diletakkan di dalam kawah besar. Perencah dan rempah sudah dimasukkan. Air pun telah dimasukkan sehingga paras dadanya. Hanya belum dinyalakan api sahaja. 

Maka, orang asli di situ bertanyakan kepada Tok Batin mereka. Kata mereka, "Tok, bolehkah kita menjadikan orang itu sebagai korban kita?". Tok Batin menjawab, "Boleh sekiranya tiada kecacatan pada tubuhnya". Lalu, mereka memeriksa tubuh raja itu dan mendapati jarinya kurang satu. Hal itu pun diadukan kepada Tok Batin. Kemudian Tok Batin menjawab, "Lepaskanlah dia kerana kecacatan pada jarinya". Raja itu pun dilepaskan. 

Dengan segera si raja pulang ke istana. Si raja bergegas menuju ke penjara istana. Lalu, dia menemui penasihatnya kemudian memeluknya sambil menangis. Penasihat itu pun pelik. Kemudian dia bertanya, "Wahai tuanku, apakah yang telah terjadi?". Tuanku menceritakan segala yang terjadi. "Benarlah katamu. Ada hikmah hilangnya satu jariku ini. Jika tidak, pasti aku menjadi korban mereka". 

Kemudian si penasihat menjawab, "Wahai tuanku, ada hikmahnya engkau meletakkan ku di dalam penjara ini. Jikalau aku turut bersamamu, pasti engkau akan terselamat dan aku akan menjadi korban mereka".


Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hanya Allah Maha Mengetahui. 







Kisah ini disampaikan oleh Habib Najmuddin bin Othman Al Khered. Semoga dapat dijadikan iktibar dan bermanfaat untuk kita.